Majlis TVET Melaka

Melaka terus lakar kejayaan dalam bidang TVET, STEM – Ab Rauf

14 Ogos 2025 · Majlis TVET Melaka

Melaka terus lakar kejayaan dalam bidang TVET, STEM – Ab Rauf

DURIAN TUNGGAL: Melaka terus mengorak langkah dalam memperkasa sektor pendidikan dan pembangunan modal insan dengan pencapaian membanggakan dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta penurunan kadar pengangguran yang ketara.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata Melaka kini berada di landasan kukuh untuk menjadi hab pendidikan teknikal dan teknologi negara menerusi beberapa pencapaian.

Katanya, pencapaian itu termasuk 18 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu memperoleh A+ penuh, meningkat lebih tiga kali ganda berbanding tahun sebelumnya, manakala kemasukan ke institusi TVET melonjak hampir 40 peratus dengan hampir 7,000 pelajar mendaftar tahun ini.

“Permohonan masuk ke Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dalam bidang TVET melebihi 60,000, sekali gus menunjukkan minat tinggi generasi muda terhadap bidang teknikal.

“Melaka juga mencatat penyertaan tertinggi nasional dalam Malaysia Techlympics 2025, dengan lebih 450,000 penyertaan,” katanya selepas menutup Program YES! Rock The School Edisi Mega 2025 di UTeM, di sini hari ini.


Program YES! Rock The School yang dianjurkan bersama KESUMA, Kementerian Pendidikan dan TalentCorp menghimpunkan lebih 700 pelajar dari seluruh negara, berperanan membimbing generasi muda dalam mengenal potensi kerjaya masa depan dalam dunia yang semakin dipacu teknologi.

Tambahnya, Melaka mencatat kadar pengangguran terendah dalam negara, iaitu hanya 1.9 peratus pada suku pertama tahun ini, jauh lebih rendah berbanding purata nasional 3.1 peratus, didorong pertumbuhan pesat sektor industri yang kini membabitkan lebih 395 industri pembuatan dan mewujudkan lebih 400,000 peluang pekerjaan.

“Melaka sedang berada di landasan tepat menerusi gabungan pendidikan berkualiti, peluang kerjaya dan dasar progresif,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah TalentCorp, Mohd Khuzzan Abu Bakar, berkata, pihaknya komited dalam menyokong pembangunan bakat belia melalui data seperti Senarai Pekerjaan Kritikal Malaysia (MyCOL) dan Kajian Impak MyMahir, selaras dengan keperluan industri.

“Ketua Menteri sangat berhasrat supaya semua belia Melaka diberi pendedahan lebih luas terhadap STEM sebagai persiapan menghadapi cabaran industri masa depan. Kita mahu lihat pelajar Melaka khususnya berada di barisan hadapan dalam sektor berteknologi tinggi, seperti Melaka dahulu menjadi pusat perdagangan disegani dunia.

“Program seperti YES! Rock The School membuka ruang kepada pelajar untuk berinteraksi dengan pakar industri dalam bidang seperti kecerdasan buatan (AI), kejuruteraan, inovasi dan literasi kewangan sambil membina keyakinan dan kesedaran terhadap peluang kerjaya masa depan.

“Dengan kejayaan pelaksanaan program ini, Melaka dilihat terus melangkah maju sebagai peneraju utama dalam bidang pendidikan teknikal dan pembangunan bakat digital di Malaysia,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Berita Berkaitan

Data Analytics Training: Microsoft Power BI Khas untuk Kakitangan Kerajaan Negeri Melaka

Data Analytics Training: Microsoft Power BI Khas untuk Kakitangan Kerajaan Negeri Melaka

Berita Lanjut »
Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat Dun Ayer Keroh – Perkasa TVET Untuk Komuniti

Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat Dun Ayer Keroh – Perkasa TVET Untuk Komuniti

Berita Lanjut »